Friday, September 14, 2007

KELEBIHAN MALAM LAILATUL QADAR

ANTARA TANDA-TANDA LAILATUL QADAR



Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang artinya : Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. - Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.


Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Thursday, September 13, 2007

FADHILAT SOLAT TERAWIKH

Fadhilat solat terawikh diriwayatkan oleh saiyidina Ali
(r.a) daripada Rasulullah s.a.w., sebagai jawapan dari
pertanyaan sahabat-sahabat nabi s.a.w. tentang fadhilat
(kelebihan) sembahyang sunat terawikh pada bulan
ramadhan:
malam 1:
keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari
Allah.
malam 2:
diampunkan dosa dosa orang mukmin yang solat terawikh
serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
malam 3:
berseru malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan
solat terawikh terus menerus. `semoga Allah mengampunkan
dosa engkau.’
malam 4:
memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang orang
yang membaca kitab kitab taurat, zabur, injil dan al
Quran.
malam 5:
Allah kurniakan baginya pahala orang-orang yang
bersembahyang di masjidilharam, masjid madinah dan
masjid aqsa.
malam 6:
Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-
malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu malaikat
sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah
mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang
mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini
malam 7:
seolah-olah ia mendapat bertemu dengan Nabi Musa serta
menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya
fir’aun dan hamman.
malam 8:
Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawikh
sepertimana yang telah dikurniakan kepada nabi Allah
Ibrahim “Alaihissalam.
malam 9:
Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat
hambanya seperti nabi Muhammad s.a.w.
malam 10:
Allah subhanahuwata’ala mengurniakan kepadanya kebaikan
didunia dan di akhirat.
malam 11:
keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa
seperti ia baru dilahirkan.
malam 12:
datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya
(cahaya ibadatnya).
malam 13:
datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada
tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
malam 14:
datang malaikat menyaksikan ia bersembayang terawikh,
serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
malam 15:
semua malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat
dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
malam 16:
Allah Subhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas
daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
malam 17:
Allah kurniakan orang yang berterawikh pahalanya pada
malam ini sebanyak pahala para nabi.
malam 18:
seru malaikat: hai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah
redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup
atau mati).
malam 19:
Allah Subhanahuwata’ala tinggikan darjatnya didalam
syurga firdaus.
malam 20:
Allah kurniakan kepadanya pahala sekian orang yang mati
syahid dan orang-orang solihin.
malam 21:
Allah binakan sebuah istana dalam syurga daripada nur.
malam 22:
datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap
dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara
di padang mahsyar).
malam 23:
Allah Subhanahuwata’ala binakan kepadanya sebuah bandar
didlam syurga daripada nur.
malam 24:
Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang
berterawikh malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam
sujud).
malam 25:
Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.
malam 26:
Allah kurniakan kepada orang berterawikh pahala pada
malam ini seumpama 40 tahun beribadat.
malam 27:
Allah kurniakan orang berterawikh pada malam ini
ketangkasan melintas atas titian sirotulmustaqim seperti
kilat menyambar
malam 28:
Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepadanya 1000 darjat
diakhirat
malam 29:
Allah Subhanahuwata’ala kurniakan kepadanya pahala 1000
kali haji yang mabrur.
malam 30:
Allah Subhanahuwata’ala beri penghormatan kepada orang
berterawikh pada malam terakhir ini yang teristimewa
sekali, lalu berfirman: “wahai hambaku: makanlah segala
jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan
didalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga
yang bernama salsabila, serta minumlah air daripada
telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang
bernama ‘al-Kauthar’”
-ihsan dari hamba Allah-
Bersama-samalah kita meramaikan dan mengerjakan solat
terawikh dengan mengharapkan balasanNya di akhirat
kelak, Insya-Allah.

Sumbang Fail anda...

Penafian

PENAFIAN:Admin Blogger tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.Copyright © 2008 . All rights reserved